Azmi Abu Kassim

Kuala Lumpur –  Laporan polis berhubung isu fitnah membabitkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli terhadap Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung projek tebatan banjir telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis berhubung kes berkenaan.

“Kita sahkan terima laporan polis itu dan kes berkenaan telah dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya secara ringkas ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim menuntut Rafizi mengemukakan permohonan maaf dengan kadar segera berhubung isu kelulusan projek rancangan tebatan banjir yang didakwa secara rundingan terus selepas pembubaran Parlimen.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu turut dituntut mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah kepada Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan dan mendakwa projek tebatan banjir berkenaan sebenarnya telah diluluskan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor menerusi surat bertarikh 7 Oktober 2022.

Katanya, surat bertajuk ‘Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor’ itu dihantar oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Selain itu, Rafizi juga menjelaskan dia akan membuat laporan polis berkaitan isu  berkenaan dan juga akan kemukakannya kepada SPRM jika PH menang PRU15.-MalaysiaGazette