Mesej palsu yang ditularkan hari ini.

KUALA LUMPUR- Badan penyelidik, Ilham Centre menafikan telah mengeluarkan sebarang laporan akhir cerapan lapangan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, sebarang sebaran daripada badan penyelidik itu hanya akan dimaklumkan menerusi laman rasmi Ilham Center dan akan dipanjangkan kepada media 18 November ini.

“Mutakhir ini, keluar beberapa perkongsian dapatan daripada Ilham Center berkaitan bilangan pecahan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi oleh parti-parti yang bertanding dalam PRU15.

“Untuk makluman, pihak kami belum mengeluarkan sebarang laporan akhir berkaitan cerapan lapangan pada waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan, tular satu jadual yang menunjukkan unjuran badan penyelidik, bahagian risikan dan agensi berkaitan, berhubung kedudukan kerusi yang boleh dimenangi parti-parti yang bertanding pada PRU15.

Menerusi jadual berkenaan, setakat 6 pagi tadi, Ilham Centre dikatakan mengunjurkan Pakatan Harapan memiliki kerusi terbanyak dengan 87 kerusi diikuti Perikatan Nasional (46) manakala Barisan Nasional (39).