Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penduduk selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Keluarga FELDA Lasah ketika di Dewan Semai BaktiFelda Lasah, Sungai Siput, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2022.

SUNGAI SIPUT – Peneroka Felda Lasah di sini lega selepas Felda melupuskan hutang berjumlah RM1.8 juta yang digunakan untuk membaiki kerosakan tanaman angkara perbuatan gajah liar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hutang berkenaan membabitkan 70 peneroka di sini yang mengalami kemusnahan tanaman sawit.

“Ada 70 peneroka yang kebun terjejas akibat serangan gajah dan berhutang dengan Felda RM1.8 juta.

“Saya sudah bincang dengan Pengarah Besar dan hari ini, Felda bersetuju menghapus kira hutang sebanyak RM1.8 juta.

“Saya beritahu pengurus jangan setakat uruskan hutang tetapi ambilah juga tindakan bagaimana mahu selesaikan serangan gajah pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mempertahankan Dewan Undangan Negeri Kota Tampan serta Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran yang akan bertanding kerusi Parlimen Sungai Siput.

Pada majis itu Perdana Menteri turut menyempurnakan simbolik penyerahan dokumen projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) kepada lima peneroka.

Mereka mewakili 100 generasi baharu peneroka Felda Lasah yang bakal menerima kediaman baharu menerusi projek PGBF yang dijangka siap pada Mac 2023.

Sehingga kini projek berkenaan telah mencapai 93.3 peratus tahap kemajuan kerja.

Sementara itu Ismail Sabri mengingatkan warga Felda agar bijak memilih dengan mengundi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kerajaan BN terbukti sejak dahulu sentiasa menjaga kebajikan dan kedudukan mereka di tahap istimewa serta akan berterusan dijaga.

“Bagi saya kena (patuk ular) sekali sudahlah, jangan sesudah dipatuk ular kemudian tak sedar lagi masih ada ular di lubang yang sama lalu menghulurkan kaki kepadanya.

“Kita tahu sudah pernah kena tipu, (jadi) kenapa kali kedua pun hendak kena tipu lagi?

“Selama ini yang menjaga kepentingan kita (peneroka Felda) adalah kerajaan diterajui BN, lalu selepas itu apabila 22 bulan PH yang tidak ada pengalaman, memerintah akhirnya huru-hara seluruh Malaysia.

“Apa yang (peneroka) Felda dapat daripada PH?” tanya beliau.-MalaysiaGazette