Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) diiringi Menteri Besar Perak yang juga calon Barisan Nasional (BN) N. 04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah), calon Barisan Nasional (BN) P.062 Sungai Siput, Tan Sri S.A. Vigneswaran (kanan) dan calon Barisan Nasional (BN) N.21 Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun (kiri) ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Keluarga FELDA Lasah ketika di Dewan Semai BaktiFelda Lasah, Sungai Siput, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2022.

SUNGAI SIPUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berasa bangga dengan menteri-menteri Kabinet yang digugurkan daripada bertanding tetapi tetap membantu calon-calon lain berkempen.

Ismail Sabri berkata, adalah normal mana-mana pemimpin yang digugurkan berasa kecewa selama beberapa hari.

Namun menurut beliau, perasan itu seharusnya hilang pada waktu ini dan mereka perlu kembali kepada parti dan bekerja seperti biasa.

“Ini yang berlaku hampir keseluruhan yang kena gugur bekerja seperti biasa dan membantu parti.

“Ini yang membanggakan saya, walaupun mereka kecewa dan saya sedih tetapi itu tidak penting lagi.

“Sudah berlalu hampir seminggu lebih. Sekarang kita bergerak bersama untuk menangkan parti,” kata Ismail Sabri.

Ismail Sabri bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Majlis ramah Mesra Bersama Keluarga Malaysia di Felda Lasah di sini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga calon Dewan Undangan Negeri Kota Tampan.

Beliau ditanya mengenai laporan media mengenai perasaan sedih yang dizahirkan perdana menteri semalam berikutan beberapa menteri Kabinet telah digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Sudah tentu saya sebagai perdana menteri berasa sedih apabila menteri Kabinet saya tidak dapat bertanding.

“Tapi isu itu sudah berlalu. Dua tiga hari mungkin kecewa oleh mereka yang tidak dapat bertanding semula.

“Tapi yang jelas semangat BN dan UMNO sangat kuat. Akhirnya semua mereka yang tidak bertanding bekerja untuk memastikan UMNO dan BN menang. Itu yang lebih penting,” tegasnya.

Sementara itu Ismail Sabri mahu setiap calon yang bertanding memastikan kemenangan BN.

Mereka perlu mengurangkan polemik dalaman parti dan perlu bergerak ke hadapan.

Beliau ditanya mengenai kenyataan calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa UMNO perlu dibersihkan.

“Saya tak jelas maksud bersihkan parti. Cuma seperti yang saya beritahu sesiapa pun di dalam parti tidak perlu membincangkan isu parti tetapi fokus kita untuk menangkan parti.

“Tapi yang pentingnya bagi saya bergerak ke hadapan dan menang.

“Fokus kita bekerja untuk menang. Yang lain-lain itu sampingkan dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette