Datuuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 14 individu yang disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah berkaitan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, daripada jumlah itu lima individu ditahan di Kelantan; tiga di Selangor dan Kuala Lumpur; serta masing-masing satu tangkapan di Kedah, Perak dan Sarawak.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, polis turut menyiasat kes menggunakan kanak-kanak sebagai bahan ceramah semasa berkempen.

Jelasnya, kejadian dikesan di Sandakan Sabah.

“Mengikut fakta, polis telah menerima laporan polis daripada pengadu yang melihat satu rakaman klip video memaparkan 13 kanak-kanak yang berada di atas pentas bersama seorang calon parti bertanding di Sabah

“Semua kanak-kanak itu turut memakai baju kemeja mempunyai lambang parti yang diwakili calon berkenaan dengan melaungkan kuat slogan parti terbabit atas pentas beramai-ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Hazani turut memaklumkan PDRM telah membuka 30 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya,semalam.- MalaysiaGazette