PUTRAJAYA – Pengundi yang didapati positif Covid-19 pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan diasingkan terlebih dahulu sebelum diberikan kertas undi mereka, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom.
Jelasnya, proses pengundian bagi pesakit Covid-19 juga akan dipercepatkan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada orang awam.
“Mereka (KKM) akan asingkan pengundi positif dan mereka akan proses mengundi mereka akan dipercepatkan dan kita akan cuba asingkan mereka dari pengundi lain,” katanya selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, hari ini
Menurut Azmi, proses undi awal di Putrajaya berjalan lancar.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan seorang anggotanya disahkan positif Covid-19 dan telah dijadualkan untuk mengundi pada sebelah petang.
“Seorang pengundi kita telah disahkan positif Covid-19 dan kita telah jelaskan untuk datang petang kerana kalau waktu pagi agak sesak,” katanya ketika meninjau proses undi awal di IPD Putrajaya. – MalaysiaGazette