Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain
Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Pas masih mempunyai semangat Muafakat Nasional (MN) walaupun cuba dinafikan sebelum ini apabila memilih untuk menyertai Perikatan Nasional bersama Parti Bersatu.

Penganalisis dan pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, walaupun Pas sudah secara rasmi untuk bersama PN, tetapi hakikatnya masih lagi mahu ada kerjasama dengan UMNO.

“Ini juga menandakan selama ini Pas membuat keputusan dengan  dibayangi oleh Parti Bersatu, sedangkan Pas lebih kuat daripada parti itu.

“Jika kemahuan Pas ini tidak direstui oleh Bersatu, ia boleh menandakan masa depan PN suatu persoalan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilaporkan berkata, parti itu akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU15 jika pihaknya tidak dapat kerusi cukup untuk membentuk kerajaan.

“Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja, bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

“Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan,” katanya yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam kenyataan terbarunya menafikan beliau ada berkata seperti dilaporkan media.

Katanya, kenyataan itu telah diambil di luar konteks dan tajuknya juga adalah mengelirukan pengundi.

“Saya ingin tegaskan di sini, saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada PN.

“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

“Dengan kenyataan yang jelas ini, maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU15,” katanya. – MalaysiaGazette