Penyandang Kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bersalaman bersama calon Barisan Nasional (BN) P.061 Padang Rengas, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid ketika hadir pada Ceramah Perdana PRU-15 'Jangan Tertipu Lagi' sempena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika di Dewan Terbuka Arena Mior Aris, Lubok Merbau, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2022.

KUALA KANGSAR – Calon perdana menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai asas untuk mengecilkan bilangan anggota Kabinet jika parti itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan beliau dilantik semula ke jawatan tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Ismail Sabri yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera mempunyai pengalaman menguruskan Kabinet dengan jumlah anggota yang besar.

“Kita tahu Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada masa lepas terpaksa menggabungkan daripada suasana ketidakstabilan. Saiz mungkin dianggap besar.

“Komitmen yang diberikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sekarang untuk Kabinet baharu komitmen untuk mengecilkan itu sesuatu yang dijangkakan, dia ada pengalaman sebagai PM, dia tahu di mana boleh kecil.

“Jadi kalau dia buat komitmen itu ia adalah sesuatu yang ada asas. Saya yakin PM akan melakukannya,” kata Annuar selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘PRU 15 jangan tertipu lagi’ di Parlimen Padang Rengas.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang merupakan penyandang kerusi parlimen itu.

Juga hadir calon BN Parlimen Padang Rengas Mohd. Arrif Abdul Majid, calon Dewan Undangan Negeri Chenderoh (DUN)  Khairuddin Mohamad Azahari dan calon DUN Lubok Merbau Mohamad Azir Ismail.

Ismail Sabri dalam satu wawancara memberi jaminan akan memperkecilkan anggota jemaah menterinya sekiranya BN memenangi PRU15 Sabtu ini jika beliau dipilih menerajui Putrajaya sekali lagi.

Katanya, saiz kabinet yang akan dibentuk nanti adalah lebih kecil berbanding jumlah menteri sekarang dengan menggabungkan beberapa kementerian.

“Saya bagi jaminan bahawa yang saya akan kecilkan Kabinet saya kerana Kabinet sekarang terlalu besar… ini janji saya tetapi siapa yang menjadi menteri Kabinet akan saya tentukan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, BN perlu fokus untuk mencapai kemenangan pada PRU15, sebelum memikirkan mengenai barisan kabinet yang baru. – MalaysiaGazette