Zahidi Zainul Abidin berdialog dengan veteran tentera di Padang Besar, Perlis semalam.

PADANG BESAR – Calon bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, Datuk Zahidi Zainul Abidin menjanjikan lima agenda dalam manifestonya terutama mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan dan perniagaan.

Jelasnya, langkah itu termasuk mengembalikan aktiviti perniagaan di kawasan Wang Kelian berikutan berakhirnya PKP dan pembukaan semula sempadan Malaysia dan Thailand.

Menurutnya, aktiviti perniagaan di Wang Kelian harus diaktifkan segera berikutan di sebelah sempadan Thailand kegiatan ekonominya telah bermula sejak beberapa bulan lalu.

“Di sempadan Malaysia pula, aktiviti perniagaan yang telah sekian lama tutup perlu dihidupkan kembali. Ini dapat mewujudkan peluang perniagan kepada usahawan dan peniaga.

“Rakyat tertanya-tanya bila boleh berniaga di Wang Kelian. Padahal pada masa ini rakyat Malaysia berduyun-duyun masuk ke Thailand untuk melancong dan membeli-belah. Sudah tiba masanya aktiviti perniagaan di kawasan Malaysia iaitu Wang Kelian diaktifkan semula.

“Itu baru di Wang Kelian, manakala lebih banyak peluang perniagaan dan perniagaan akan diwujudkan dengan kemasukan pelaburan projek-projek berimpak tinggi ke Padang Besar,” katanya ketika berkempen bertemu penduduk di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi di sini semalam.

Zahidi berkata, daripada dua agenda berkenaan, manifestonya turut menjanjikan sebuah litar pemotoran bertaraf antarabangsa di Sungai Chuchuh untuk meningkatkan aktiviti sukan di kawasan berkenaan.

“Manifesto saya juga menjanjikan peningkatan aktiviti pelancongan dan memperkasakan prasana digital di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, kata Zahidi, beliau akan terus memperjuangkan nasib veteran tentera dan balu-balu mereka.

Jelasnya, ini termasuk memberi keistimewaan iaitu tambang percuma kepada veteran tentera dan balu mereka yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api.

“Saya percaya ia tidak akan merugikan pengangkutan awam jika veteran tentera ini diberikan tambang percuma. Manakala kerajaan juga harus mempertimbangkan diskaun 50 peratus atau lebih lagi kepada veteran tentera yang mahu menggunakan pengangkutan kapal terbang.

“Kerajaan juga harus mewujudkan satu sistem di mana veteran tentera dan balu mereka diberikan harga istimewa jika mereka hendak membeli barangan keperluan utama seperti beras, tepung, gula, telur dan sebagainya.

“Langkah ini dapat memberi peluang untuk mereka atau ahli keluarga berniaga kecil-kecilan bagi menambah pendapatan seperti menjual kuih-muih dan sebagainya,” katanya.

Sementera itu, ketika berdialog dan menjawab pertanyaan penduduk, Zahidi berkata, beliau bukan menentang Barisan Nasional (BN) atau UMNO yang meletakkan calon di Padang Besar.

Sebaliknya kata Zahidi, tindakannya bertanding Bebas apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan calon bukan dari Perlis untuk bertanding.

“Saya terasa dianiaya setelah UMNO pada awalnya meminta lima nama sebagai cadangan calon. Namun, semuanya ditolak malah, penduduk juga rasa teraniaya apabila orang luar Perlis bertanding.

“Jika saya menyatakan sokongan kepada calon luar Perlis yang bertanding di bawah tiket UMNO dan BN, saya tidak mahu satu hari nanti rakyat di sini menyalahkan saya dan mendakwa saya yang membawa calon orang luar Perlis untuk bertanding di kawasan ini,” katanya.- MalaysiaGazette