Peserta, guru dan fasilitator (Kumpulan penyelidik UTHM) di Kaki Bukit Soga, Batu Pahat.

BATU PAHAT – Sekumpulan penyelidik terdiri daripada pensyarah dan pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati kualiti air Sungai Hutan Lipur Bukit Soga Perdana bersih daripada sebarang pencemaran.

Penentuan kualiti air sungai itu dibuat menggunakan penunjuk kimia dan biologi pada 30 Ogos lalu bersama 25 pelajar dan tiga guru dari Sekolah Menengah (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor.

Menurut penyelidik, Dr. Siti Hidayah Abu Talib yang juga pensyarah FKAAB, Sungai Hutan Lipur Soga Perdana dipilih kerana lokasi ini merupakan kawasan hulu sungai yang masih belum terlibat dengan sebarang bentuk pembangunan.

“Oleh kerana kawasan rekreasi ini menjadi tumpuan ramai, pihak kami terpanggil untuk mengenal pasti tahap kualiti airnya bagi memastikan keselamatan pengunjung lebih terjamin.

“Dengan adanya kajian penentuan tahap kualiti air di sungai terbabit, ia dapat menarik minat lebih ramai pengunjung untuk datang beriadah,” katanya.

Pelaksanaan program seumpama itu bukan sahaja dapat menentukan kualiti air malah dapat memindahkan ilmu dan memberi pengalaman baharu kepada para pelajar dan guru sekolah.

“Pelajar dan guru yang hadir kelihatan begitu teruja dapat menangkap haiwan makroinvetebrata yang merupakan penunjuk bio dalam kajian ini.

“Manakala penunjuk kimia pula terdiri daripada pH, oksigen terlarut dan beberapa parameter lain. Kedua-dua penunjuk ini dicerap dengan menggunakan kit pendidikan kualiti air yang dibekalkan kepada setiap kumpulan,” jelas beliau.

Aktiviti persampelan kimia di kawasan hulu Sungai Bukit Soga menggunakan Kit Pendidikan Kualiti Air.

Untuk rekod, kit yang dibekalkan itu telah direka bentuk oleh beberapa pensyarah dari FKAAB bagi memudahkan proses persampelan haiwan makroinvetebrata dan menganalisis kualiti air di tapak.

Kit yang dilengkapi dengan buku manual itu juga turut menyediakan tempat penyimpanan yang selamat untuk membawa sampel dari sungai ke tempat analisis.

“Gabungan penunjuk bio dan kimia di dalam kit tersebut masih belum ada dalam pasaran sama ada di dalam atau luar negara, sekali gus turut menarik minat guru-guru sekolah untuk menggunakan untuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” tambah Siti Hidayah.

Program ini dibiayai oleh Pusat Pengajian Siswazah, UTHM memandangkan 15 pelajar sarjana mahu terlibat sama bagi menambahkan lagi pengetahuan dan pengalaman baharu mereka.

“Pihak kami berharap program seumpama ini dapat dijalankan bersama para pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi yang lain juga.

“Kami juga amat mengharapkan masyarakat sentiasa peka mengenai kualiti air di tempat mereka sekali gus dapat mewujudkan satu bentuk kerjasama untuk menangani masalah pencemaran air yang semakin berleluasa pada ketika ini,” katanya. -MalaysiaGazette