Pengarah Malaysian International Humanitarian and Welfare Foundation (MIHWF), Aathi Shankar (tiga kiri) bersama Timbalan Presiden, Datuk Hamidah Osman (empat kiri) menunjukkan kertas siasatan SPRM yang tular di laman sosial ketika sidang media di World Trade Centre Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneruskan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Malaysian International Humanitarian and Welfare Foundation (MIHWF), Aathi Shankar berkata, siasatan itu harus dijalankan secara telus walaupun terdapat pihak berkepentingan cuba mempertikai usaha SPRM tersebut.

“Kami sokong SPRM di bawah Tan Sri Azam Baki jalankan siasatan tanpa fear and favor. Namun kami kecewa dengan pihak yang membawa hal ini ke mahkamah untuk pertikaikan siasatan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIHWF, Datuk Hamidah Osman melahirkan kekesalan selepas serahan memorandum kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini tidak mendapat sebarang maklum balas.

Datuk Hamidah Osman

“Tiada apa respons yang diberikan oleh Jabatan Peguam Negara selepas serahan memorandum beberapa minggu lalu. Malah, laporan polis sebelum ini juga masih tiada perkembangan lanjut,”

Pada 3 November, MIHWF dalam memorandumnya menggesa tindakan dilakukan segera susulan tiada alasan kukuh bagi melengahkan pendakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Hamidah turut mempersoal tindakan Mohd Nazlan yang tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam SRC International.

Tambahnya, atas kesalahan itu, Mohd Nazlan telah melanggar Seksyen 220 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Malah, Hamidah jugamendedahkan kertas siasatan SPRM yang tular di laman sosial bahawa Mohd Nazlan menjadi salah seorang daripada empat “dalang” utama dalam kes berkenaan.

“Saya anggap kertas siasatan ini sahih kerana SPRM tidak buat penafian. Dalam muka surat 14, Nazlan disebut sebagai watak utama selain tiga nama yang lain.

“Ini bermakna beliau ada kepentingan dalam kes ini yang bukan setakat penglibatannya sebagai Setiausaha Syarikat dan Peguam Am Maybank,” ulasnya.

Pada 23 April lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan telah dibuka terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Susulan itu, Mohd Nazlan telah membuat laporan polis terhadap blog yang mengeluarkan artikel terbabit serta menafikan tuduhan yang didakwa berniat jahat, tidak berasas, bertujuan mencemarkan kredibilitinya dan menganggu sistem kehakiman. – MalaysiaGazette