Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

GOMBAK – Calon Perdana Menteri mestilah individu yang mempunyai daya intelektual dan berstamina tinggi, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) mempunyai calon PM yang menepati kriteria tersebut.

“Mengapa calon PM PH adalah Anwar Ibrahim? Kerana beliau seorang yang berwibawa dan mempunyai intelektual yang tinggi.

“Malah, hendak jadi PM kena ada stamina yang kuat,” katanya ketika berucap dalam grand finale jelajah mega PH di Dewan Serbaguna AU2 Keramat, malam tadi.

Menurut Anthony, calon PN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai stamina yang kuat dan beliau juga mendakwa calon PM daripada Barisan Nasional juga tidak layak.

Jelas beliau, tugas utama PM selepas pembentukan kerajaan adalah untuk menarik pelabur masuk ke negara ini.

“Lepas angkat sumpah kena jumpa ketua-ketua negara luar, jumpa tarik pelabur dan saya yakin Anwar ada stamina sebegitu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette