Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nampaknya parti Pas bijak dan bersedia untuk membuat penyesuaian baharu sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak lagi penting selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Yang penting Pas boleh terus jadi kerajaan walaupun terpaksa tinggalkan yang lain, sindir Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, di Kelantan dan Terengganu, Pas mengggunakan logo sendiri, tidak pakai logo PN.

”Dari segi undang-undang lompat parti, mana-mana calon mereka yang menang atas logo sendiri, bebas kalau nak bersama dengan mana-mana gabungan lain tanpa terikat dengan PN,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan kesediaan Pas untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15.

Katanya, pendirian Pas jelas jika diminta untuk bergabung, maka parti itu akan memilih BN.

Beliau menambah, Pas tidak akan sesekali bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana parti komponen PH.

Secara sinis, Ahmad Shabery berkata, 19 November ini, kena cepat-cepat tengok keputusan pilihan raya bagi kerusi Pagoh, Tambun, Beluran dan Putrajaya.

Selepas itu barulah keputusan baharu akan dibuat. – MalaysiaGazette