Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merayu pengundi Barisan Nasional (BN) dan rakyat khususnya tidak berpecah, sebaliknya memahami parti itu sebagai gabungan yang wajib dimenangkan pada PRU15, Sabtu ini.

Pengerusi BN itu berkata, mereka perlu keluar beramai-ramai untuk memberi undi kemenangan kepada calon parti di kerusi Parlimen dan DUN masing-masing.

“Empat tahun telah berlalu, jangan ada penyokong BN terkhilaf lagi kerana PRU15 penentu masa depan negara.

“Sepakatlah undi BN, Insya-Allah membawa berkat. Kepada Allah S.W.T kita mohon pertolongan selepas segala daya upaya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya semalam.

Katanya, demi kestabilan dan kemakmuran untuk semua penyokong BN, beliau menitipkan doa agar mereka sentiasa dalam kesejahteraan walau di mana berada ketika ini.

Menurut Ahmad Zahid, demi ‘pisang tidak berbuah dua kali’, beliau berharap peristiwa hitam 9 Mei 2018 tidak akan terjadi lagi pada 19 November ini.

“Ketika itu baru semua sedar mereka tertipu, tetapi sudah terlambat kerana negara telah pun dikuasai oleh sebuah kerajaan gagal.

“Kerajaan yang terbentuk atas tipu daya dan tujuannya cuma untuk menamatkan riwayat BN serta pemimpinnya dengan mengenakan pertuduhan politik ke atas pemimpin yang setia, manakala yang melompat terlepas penganiayaan,” katanya.

Beliau meminta rakyat termasuk pengundi BN menyaksikan bagaimana parti mampu bangkit semula dengan mencipta kemenangan pada dua Pilihan Raya Negeri di Johor dan Melaka. – MalaysiaGazette