Anwar bersama calon PH Shah Alam, Azli Yusof dalam majlis minum petang bersama Anwar Ibrahim di Padang Fkat Seksyen 16, petang ini.

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, beliau sebelum ini sudah mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN) yang melayakkannya untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, kata Presiden PKR itu, beliau menolaknya kerana sokongan itu disertakan dengan syarat.

“Syaratnya, jika saya Perdana Menteri, saya mesti lepaskan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dari penjara.

“Saya kata, itu bukan kerja saya. Saya tak ada kuasa untuk itu. Saya jadi Ahli Parlimen dan kalau jadi Perdana Menteri sekali pun adalah untuk selamatkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menyampaikan ceramah pada majlis minum petang bersama Anwar Ibrahim di Padang Flat Seksyen 16, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas menolak sokongan bersyarat itu, keluar bermacam-macam tuduhan kononnya beliau akan menjadi Perdana Menteri tepi untuk selama-lamanya.

“Saya jawab, lebih baik PM tepi daripada kamu yang duk sakau duit rakyat.

“Lebih baik PM tepi daripada salah guna kuasa sampai puluhan ribu rakyat meninggal dunia (akibat Covid-19), PKP paling panjang, kontrak diberi tanpa tender berpuluh-puluh, bahkan beratus bilion ringgit semasa kamu jadi PM.

“Malu kalau aku jadi PM macam itu,” katanya.

Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) bertungkus lumus bekerja untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah dengan tekad untuk menukarkan sistem kerajaan sedia ada.

Kata beliau, semua rakyat tahu bagaimana kerajaan sebelum ini mentadbir urus negara dan kerana itu mereka mahu menukar serta memberi mandat penuh kepada PH.

“Kita bekerja bukan soal nak lantik Anwar sebagai Perdana Menteri. Kita bekerja bukan soal nak menangkan calon PH Shah Alam seorang. Kita bekerja untuk tukar sistem kerajaan.

“Di Shah Alam ini, saya difahamkan calon Perikatan Nasional (PN) seorang pengkhianat (Dr. Afif Bahardin). Pengkhianat ini jangan kita bagi dia menang.

“Ketika kerajaan kita (PH) ada mandat (menang PRU14) dan buat kerja (memerintah), dia (tiba-tiba) khianat kerana semata-mata nakkan jawatan. Dia tahu (bertanding di Shah Alam) kalau kat Permatang Pauh pun dia akan kalah,” ujarnya.

Kata Anwar, malam tadi beliau berceramah di Parlimen Ampang menyatakan rasa kasihan kepada bekas Ketua Wanita PKR itu, sejak mengkhianati PKR, terpaksa merayu di tepi jalan untuk meraih undi bagi parti baharunya.

“Apa la nak jadi. Kemudian saya pergi ke Gombak untuk kalahkan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali.

“Dia ini berpuluh tahun bersama kita dalam PKR, tetapi sanggup tinggalkan parti kerana jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette