KUALA LUMPUR – Dana bagi pembelian vaksin Covid-19 bukan daripada saku Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahupun jasa Perikatan Nasional.
Tetapi, keseluruhan dana untuk membeli vaksin dikorek daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), kata pentadbir akaun Facebook Najib Razak.
Tambahnya, dana KWAN dibina oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Semasa itu, saiz dana KWAN naik dari RM4 bilion kepada RM18 bilion.
“Satu sen pun tak pernah dikeluarkan dari dana KWAN.
”Dia ingat rakyat lupa? Peruntukan pembiayaan KWAN dinaikkan kepada RM6 bilion agar cukup bekalan vaksin,” katanya yang menempelak Muhyiddin susulan kenyataannya dalam satu ceramahnya.
Dalam ceramah itu, Muhyiddin mendakwa suntikan vaksin yang diterima rakyat di negara ini adalah sumbangan PN yang menguruskan wang rakyat agar nyawa penduduk negara ini dapat diselamatkan.
Malah, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, hanya beberapa orang sahaja yang mati, menjadi korban Covid-19.
Mengulas perkara itu, pentadbir Facebook Najib berkata, jumlah yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah dalam lingkungan 36,000 dan angka itu patut dilihat bersama saiz penduduk.
Tegasnya, Muhyiddin tidak boleh dinafikan kadar kematian Covid-19 berbanding saiz penduduk Malaysia adalah antara paling tinggi di ASEAN dan di dunia.
”Adakah dia lupa rata-rata hospital di Malaysia tak cukup peti sejuk untuk simpan mayat? Sehingga orang awam perlu menderma untuk menambah peti dan kontena,” soalnya lagi. – MalaysiaGazette