Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan kanak-kanak ketika melawat ruang pameran pada Majlis Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2022.

BERA – Perdana Menteri mahu rakyat berdoa supaya tidak berlaku banjir besar ekoran Monsun Timur Laut (MTL).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, beberapa kawasan dilanda bencana alam itu masih dikategorikan banjir kilat.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana sudah digerakkan, mereka semua bersedia cuma alhamdulilah, ia masih banjir kilat belum Monsun Timur laut belum lagi masuk.

“Jadi kita harap dan berdoa supaya tak berlaku banjir besar,” ujarnya ketika ditemui semasa menghadiri Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Saddique.

Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bersiap sedia menghadapi ancaman Monsun Timur Laut.

Malah mesyuarat mengenainya sudah dibuat baru-baru ini.

“Arahan sudah dikeluarkan kepada polis, bomba dan jawatankuasa negeri sudah diaktifkan dan semua sudah bersedia,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, jawatankuasa banjir digerakkan setiap kerajaan negeri dan daerah yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai daerah.

Mengenai banjir kilat yang berlaku di Shah Alam dan Klang hari ini, Ismail Sabri mahu tindakan segera dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

“Saya harap Majlis Bandar Klang dan Majlis Bandaraya Shah Alam bertindak. Saya risau banjir di Taman Sri Muda dan harap jawatankuasa peringkat negeri sudah bersedia. – MalaysiaGazette