BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat dibentuk pada malam ini.

Keyakinan itu berdasarkan kepada sasaran dan andaian bahawa BN dan parti-parti Sabah boleh melepasi 112 kerusi Parlimen.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah selesai mengundi di SMK Bandar Kerayong, di Triang, di sini bersama isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal abidin.

Namun, kata Naib Presiden UMNO itu, sebarang keputusan besar berkaitan kerjasama parti untuk membentuk kerajaan hanya akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti selepas keputusan PRU15 diperoleh.

“Seperti saya katakan, kita tunggu sehingga keputusan PRU15 diperoleh baru kita boleh buat keputusan.

“Kalau kita mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa hubungan yang lain, ‘still’ kita akan  bekerjasama dengan parti daripada Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Rakyat Sabah (PRS) BN daripada Sabah.

“Kita tak boleh tinggalkan rakan kongsi kita daripada Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera itu juga seolah-olah memberi bayangan bahawa keputusan itu juga mungkin membabitkan kerjasama antara parti lain.

“Tapi untuk Semenanjung, sama ada Perikatan Nasional (PN) dan sebagainya, kita tunggu dan lihatlah selepas keputusan PRU15 ini,” ulasnya Ismail Sabri lagi.

Justeru, beliau berharap agar pengundi akan keluar untuk menunaikan tanggungjawab hari ini memberi mandat kepada parti yang mampu membawa kestabilan. – MalaysiaGazette