KUALA SELANGOR – Gelagat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mencuri tumpuan apabila beliau kelihatan kekok dan melakukan kebiasaan beratur untuk menunggu giliran mengundi di pusat daerah mengundi.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor itu mengaku tidak menyedari kelonggaran yang diberikan petugas Suruhajaya Pilihan Raya (SPR).

“Sebenarnya saya nak beratur tadi, lepas itu ramai yang ambil gambar. Lepas itu SPR kata tak payah beratur, saya pun okay lah tak payah beratur.

“Mula-mula saya nak beratur tadi sebab tak mahu ganggu proses mengundi, sebab itu saya terus pergi ke depan selepas dinasihati,” katanya kepada pemberita di sini, pagi ini.

Terdahulu Tengku Zafrul ditemani isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrian Raja Arshad mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Kerusi P096 Kuala Selangor menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang iaitu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkeflfly Ahmad.

Dzulkefly akan ditentang Tengku Zafrul yang mewakili BN, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli dan Timbalan Yang Dipertua Pas, Mohd Noor Mohd Sahar daripada Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjangkakan lebih ramai pengundi akan keluar mengundi lebih awal susulan kesesakan berlaku di beberapa pusat daerah mengundi di sini sejak awal pagi tadi.

“Saya sebenarnya sini (mengundi) 8.30 pagi ramai yang keluar, cuaca pun agak mendung.

“Saya rasa kalau cuaca terus begini, ramai akan keluar ini, sebab kawasan Kuala Selangor hujan tengah malam tadi dan baru berhenti pagi tadi.

“Dalam perjalanan tadi saya difahamkan banyak tempat mengundi penuh beratur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette