KUALA LUMPUR- Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meninggal dunia ketika bertugas semalam disahkan akibat COVID-19.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata, semua anggita polis yang bertugas bersama pegawai berkenaan telah diarahkan untuk menjalani kuarantin.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, mangsa yang berusia 45 tahun itu bertugas di pusat mengundi Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat.
Dalam pada itu katanya, sepanjang tempoh 5 November hingga semalam, polis menerima 393 laporan dan daripada jumlah itu, sebanyak 82 kertas siasatan dibuka dan tujuh individu ditahan.
“Walaupun masih terkesan beberapa insiden terpencil yang berlaku namun ia berjaya ditangani dengan baik oleh pasukan yang bertugas dalam tempoh itu.
Menurut Datuk Arjunaidi, Polis Kontinjen Selangor masih lagi menempatkan pasukan petugas berada dalam keadaan siap siaga pada bila-bila masa apabila diperlukan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya serta tidak menyebarkan berita palsu yang bertujuan untuk membangkitkan kegelisahan di kalangan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Secara keseluruhannya proses mengundi di Selangor berjalan lancar tanpa sebarang isu sensitif dan insiden yang tidak diingini.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada rakyat Selangor kerana berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi secara matang. Kerjasama anda semua amat kami hargai dan diucapkan ribuan terima kasih,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan
Petugas SPR tidak sedarkan diri di pusat pengundian meninggal dunia