Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggal dunia selepas tidak sedar diri semasa bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Klang pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada jam lebih kurang 12.15 tengah hari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah terima maklumat seorang lelaki berumur 45 tahun telah tidak sedar diri di sebuah pusat mengundi di kawasan Klang.

“Bertindak atas maklumat itu, siasatan lanjut polis mendapati pusat mengundi di sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya di Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat, Klang tidak sedarkan diri di atas kereta buggy semasa sedang bertugas di tempat tersebut.

“Pihak ambulan yang dipanggil ke lokasi kejadian telah membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa telah diberikan rawatan lanjut di zon kecemasan HTAR Klang.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal pihak polis dan keterangan isteri mangsa menyatakan bahawa mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung,” ujarnya.

Menurut Hoong Fong, mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, HTAR Klang untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette