KUALA LUMPUR – “Saya tak ‘ambil hati’, walaupun gagal di Sabak Bernam,” kata pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof.
Eizlan, 51, yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertanding di Parlimen Sabak Bernama tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salan yang meraih 17,973 undi, sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Warga Sabak Bernam sudah pun membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 semalam.
“Saya sudah berusaha dengan kapasiti yang ada dan sangat menghormati keputusan dibuat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berterima kasih kepada warga Sabak Bernam atas layanan yang cukup sempurna, selesa dan harmoni walaupun berbeza parti politik dan pendapat selama dua minggu ‘berkampung’ di sana.
Eizlan turut menitipkan pesan kepada wakil rakyat yang telah dipilih agar jangan sia-siakan kepercayaan diberikan mereka kerana ini adalah peluang berkhidmat untuk rakyat, bukan sebaliknya. – MalaysiaGazette