Tertuduh yang dibawa anggota polis tiba di mahkamah untuk menghadapi pertuduhan atas kesalahan melakukan memukul isterinya yang telah menjadi tular di media sosial di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 NOVEMBER 2022.

Kajang – Seorang lelaki yang tular memukul  isteri baru-baru ini mengaku bersalah dan dihukum tiga bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Orang Kena Tuduh (OKT), Reduan Mahamood, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Majistret, Nik Siti Norazalini Nik Mohamed Faiz.

Mengikut pertuduhan, OKT didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Adrina Mohd Ariff dengan memukul dan menendang mangsa menggunakan tangan dan kaki di sebuah unit kondominium di Vista Persiaran You City, Batu 9, Kajang pada 14 November lalu sekitar jam 5.13 petang.

Bagi kesalahan tersebut, OKT didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Peguam yang mewakili OKT, Mohd Shafiq Ahmed Bazari memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum kerana OKT merupakan seorang ahli perniagaan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara isteri serta dua anaknya.

Tambah Mohd Shafiq, OKT juga perlu menjaga dirinya kerana menghidap sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis dan perlu mengambil ubat setiap hari serta mendapatkan rawatan di hospital.

Selain itu, anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan menyesal akan perbuatannya selama ditahan reman empat hari.

Oleh itu, Mohd Shafiq memohon satu hukuman denda paling minimum dan mengesyorkan denda sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran agar tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dari tarikh tangkap pada 19 November lalu dan denda RM2,000, jika gagal tertuduh perlu bayar denda, dia dikenakan tambahan penjara sebulan.

Nik Siti Norazlini turut menasihatkan, OKT supaya tidak mengulangi kesilapan sama kepada sesiapa sahaja termasuk isterinya dan berharap hukuman yang dikenakan dapat memberikan pengajaran kepadanya.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit tujuh saat memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita sebelum mangsa diheret dan ditendang berkali-kali di muka serta badan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu jam 9.38 malam, pada 15 November lalu.

Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di kawasan Setapak, Kuala Lumpur jam 4.35 pagi pada 19 November lalu.

Suspek kemudian direman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga 22 November untuk siasatan lanjut bagi tujuan pendakwaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast