Menara Berkembar Petronas (KLCC) merupakan mercu tanda bandar Kuala Lumpur di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Penyelidikan Risiko Negara dan Industri Fitch Solutions memberi amaran bahawa Malaysia akan kehilangan keyakinan pelabur melainkan kerajaan yang stabil dibentuk.

Malah, firma itu berkemungkinan akan meningkatkan skor indeks risiko politik jangka pendek Malaysia dalam beberapa hari akan datang sebaik kerajaan baharu dibentuk dan apabila terdapat kejelasan yang lebih besar berhubung hala tuju dasar.

Memandangkan tiada parti yang mendapat majoriti mudah, Fitch Solutions berkata, ia tidak jelas sama ada kedua-dua gabungan parti – Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu mendapat sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen yang diperlukan untuk mewujudkan majoriti mudah.

Ini kerana rundingan antara pelbagai parti sedang berjalan.

Agensi penarafan berpangkalan di Amerika Syarikat itu menambah, ika kerajaan baharu yang stabil tidak dibentuk dalam beberapa minggu akan datang, ia boleh membawa kepada ketidaktentuan yang lebih besar.

Ia termasuk menjejaskan ramalan pertumbuhan sebanyak 5.8% yang diunjurkan pada suku keempat dan 4.0% pada 2023 kerana para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Kami mengulangi jangkaan kami untuk kestabilan politik kembali di Malaysia, sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk, diperkukuh oleh rang undang-undang anti-lompat parti, yang diluluskan pada Julai dan berkuat kuasa 5 Oktober lalu.

Ia berkata undang-undang itu harus menghalang kejatuhan kerajaan baharu akibat pembelotan parti, dan perlu membawa kepada penambahbaikan dalam proses penggubalan dasar, mengurangkan keperluan untuk kerajaan memerintah seterusnya mendapatkan sokongan daripada parti yang lebih kecil bagi mengelakkan pembelotan.

Keputusan PRU15 Sabtu lalu menyaksikan PH memenangi sebanyak 76 kerusi di peringkat Parlimen, PN (51), Barisan Nasional (30) dan masing-masing 22 kerusi bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pas. – MalaysiaGazette