KUALA LUMPUR – UMNO mengambil iktibar dan sentiasa muhasabah diri atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan meneruskan perjuangan sehingga memperoleh kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
“Jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua yang telah berjaya menjadi wakil rakyat dan kepada jentera yang telah bekerja keras menjana kemenangan 30 kerusi BN.
“Juga kepada para penyokong yang tidak pernah berhenti menyokong perjuangan BN meskipun terpaksa menerima hakikat yang pahit atas keputusan kali ini.
“Insya-Allah lama-kelamaan rakyat akan dapat menilai dengan lebih baik segala tawaran yang kita ingin berikan demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Dalam PRU lalu, UMNO hanya menang 30 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (Warisan) tiga kerusi, Bebas dua kerusi, manakala Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) masing-masing satu kerusi.
Bagaimanapun, tidak ada parti yang menang majoriti mudah 112 kerusi menyebabkan kedudukan Parlimen ketika ini tergantung.
Namun, Presiden Pas yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan gabungan itu mempunyai cukup nombor untuk membentuk kerajaan petang ini. – MalaysiaGazette