sekolah vernakular
Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – MCA mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah melanggar ketetapan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) apabila mempersembahkan maklumat salah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agong MCA, Datuk Chong Sin Woo berkata, isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat BN yang ditandatangani Ahmad Zahid itu memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

”Ditegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat (letterhead) Barisan Nasional (BN) yang ditandatangani Pengerusi BN, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 22 November 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tegas beliau, isi kandungan itu ternyata bertentangan dengan keputusan Dewan Tertinggi BN yang kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

”Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

”Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih,” dedahnya.

Sin Woo menegaskan, Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai pengerusi dan sekali lagi menggesa Presiden UMNO itu meletakkan jawatan secara terhormat.

Katanya, tempat Ahmad Zahid wajar digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast