Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR – DAP memohon maaf secara terbuka kepada pemimpin Kerajaan Negeri Sarawak dan rakyat negeri itu sekiranya pemimpin parti tersebut pernah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan.

Permohonan maaf dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook di media sosial selepas membuat kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman beliau di Kuching hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Prof. Dato Seri Dr. Sim Kui Hian.

Menurut Anthony, pertemuan itu berlangsung dengan mesra yang disusuli perbincangan antara kedua-dua pemimpin dan permohonan maaf turut dizahirkan kepada Abang Johari.

“Saya telah memaklumkan kepada YAB Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka,” kata Anthony.

Anthony berharap pertemuan tersebut akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.

Permohonan maaf itu menjadi petanda bahawa Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan campuran bersama-sama parti lain termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin oleh Abang Johari.

Sebelum ini media melaporkan pemimpin dapat mengeluarkan kenyataan yang menguris hati pemimpin GPS.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen antaranya, percaya mustahil untuk mengharapkan GPS bekerjasama dengan PH selepas PRU15.

Beliau berkata, parti komponen GPS pernah menganggotai Barisan Nasional (BN) hingga 2018.

Tegasnya, mengundi untuk GPS bersamaan memberi undi kepada UMNO.

“Jika itu bukan yang kita mahu, maka kita harus elak semua kemungkinan mengembalikan kuasa kepada UMNO. Kita tidak boleh undi GPS.”

Dalam kenyataan, beliau berkata, GPS menunjukkan taat setianya kepada UMNO apabila sanggup bersama BN membentuk kerajaan pada Mac 2020, sejurus kerajaan PH jatuh dan pada Ogos 2021, susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang ketika itu sebagai perdana menteri.

PH memerlukan kerjasama daripada GPS dan BN bagi membentuk majoriti untuk mentadbir negara. – MalaysiaGazette