KUALA LUMPUR – Dua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mengesahkan pihaknya ada mengemukakan ketetapan undi tidak percaya terhadap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dua daripada pemimpin parti itu berkata ‘ya’ kepada pertanyaan sama ada mereka mengemukakan undi tidak percaya tersebut.
Kedua-dua mereka adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woo namun mereka enggan mengulas lanjut mengenainya.
Sebelum ini, tular surat usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid itu dibuat susulan tindakannya yang didakwa mengkhianati keputusan dicapai menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.
Usul berkenaan dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup menerusi sepucuk surat bertarikh hari ini.
Surat ditandatangani tiga pemimpin itu antara lain meminta Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berundur secara terhormat serta-merta dan digantikan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Surat itu juga memaklumkan perkara itu sudah diusulkan Presiden MIC dalam mesyuarat tetapi perjalanan mesyuarat terganggu apabila Pengerusi BN membenarkan ahli Parlimen BN memasuki bilik mesyuarat walaupun mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum selesai.
Justeru dalam surat yang sama, MCA dan MIC akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya Pengerusi BN enggan berundur secara terhormat. – MalaysiaGazette