Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) sepakat menggesa pemilik restoran menggunakan perkhidmatan televisyen komersial yang sah untuk tontonan di premis masing-masing.

Sambil mengulangi ketetapan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai perkara itu, Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, mana-mana premis yang menunjukkan karya hak cipta sukan dan kandungan hiburan tanpa persetujuan Liga Perdana dan penyiar rasmi adalah melanggar hak cipta di bawah Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987.

Katanya, seksyen itu menetapkan mana-mana premis komersial yang menunjukkan kandungan kepada pelanggannya menggunakan peranti penstriman haram akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut beliau, premis komersial itu boleh dikenakan tindakan undang-undang dan mereka bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi kepada pemilik kandungan.

“Kami menjalankan perniagaan yang sah dan ingin memastikan bahawa semua perkhidmatan di bawah kami adalah sah.

“Sebagai pemilik perniagaan beragama Islam, amat penting untuk beroperasi secara halal dan mengikut saranan agama. Kegiatan mencuri dalam apa cara sekali pun adalah haram.

“Justeru, pelanggan juga diminta menyokong restoran yang menggunakan perkhidmatan siaran televisyen berbayar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Govindasamy berkata, penetapan persatuan itu tepat pada masanya ketika rakyat Malaysia kini dihidangkan dengan pelbagai rancangan hiburan serta yang terbaharu Piala Dunia FIFA Qatar 2022 yang sedang berlangsung untuk menarik lebih ramai pelanggan.

“Ia penting untuk melindungi hak ahli kami yang menggunakan perkhidmatan undang-undang. Ini amat penting kerana kami kini berada dalam fasa endemik dan ahli kami boleh beroperasi tanpa sekatan,” katanya.

Orang ramai boleh melaporkan penyiaran haram kandungan sukan dan hiburan di premis komersial kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui talian hotline 1-800-886-800, 03-8882 6088/6245, WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, emel [email protected] atau melalui aplikasi ezAdu. – MalaysiaGazette