Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali semasa singgah untuk makan tengahari di Medan Selera Presint 8, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa untuk singgah makan tengah hari di Medan Selera Presint 8, di sini walaupun berdepan jadual yang padat pada hari pertamanya bertugas.

Kehadiran beliau yang tiba ke medan selera terbabit pada jam 12.20 tengah hari dengan menaiki kereta jenis Vellfire hitam mencuri perhatian pengunjung yang ingin beramah mesra dan bergambar kenangan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan orang ramai semasa singgah untuk makan tengahari di Medan Selera Presint 8, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2022.

Anwar, 75, memilih menu nasi beriani kambing untuk hidangan tengah harinya.

Selesai menjamu selera, Perdana Menteri seterusnya dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini.

Terdahulu Anwar tiba kira-kira jam 9.52 pagi ini di Bangunan Perdana Putra, di sini bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri. – MalaysiaGazette