Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyangkal dakwaan kononnya sejumlah RM620 bilion yang digunakan untuk pakej rangsangan tidak direkodkan dalam Akaun Perbendaharaan.

Beliau menegaskan, semua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Berhubung dengan komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022, saya ingin menegaskan dakwaan ini tidak benar dan semua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).

“Perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telahpun diluluskan Parlimen sebulat suara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas ciapan seorang pengguna akaun Twitter, Yusoff Bachek yang membuat hantaran tidak benar.

Dalam ciapan itu, pengguna Twitter terbabit menyatakan, “RM620 bilion tidak direkod dalam Akaun Perbendaharaan untuk 2020-2022 semasa PKP dan darurat. Sekarang kita tahu kenapa Muhyiddin dan Ismail Sabri tidak mahu orang lain jadi Perdana Menteri’.

Ahli Parlimen Bera itu menggantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 23 Ogos 2021. – MalaysiaGazette