Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin ketika membuat pemantauan bekalan telur ayam di Pasar Raya St Rosyam Mart , Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur memberi jaminan bekalan telur ayam mencukupi bagi pasar awam, pasar raya dan kedai runcit di ibu kota yang didakwa berlaku sehingga hari ini.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, seramai 90 orang Pegawai Penguat Kuasa serta 83 orang Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDNHEP WPKL sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan berkala meliputi pemborong dan pembekal utama.

Jelas beliau, sekiranya terdapat pasar raya atau peruncit yang tidak mempunyai bekalan melalui pemeriksaan berkala Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga (PPH), KPDNHEP akan mengenal pasti punca dan masalah bekalan yang timbul, tindakan segera akan diambil supaya bekalan dapat dipulihkan

“KPDNHEP WPKL juga sentiasa memantau bekalan telur ayam melalui 55 buah Kedai Runcit Terpilih yang dilantik di mana premis ini telah dijadikan petunjuk keberadaan bekalan semasa di seluruh Parlimen di WPKL.

“Pada 27 November lalu, jumlah bekalan telur ayam yang dilaporkan adalah berjumlah 142,779 biji manakala semalam pula sebanyak 128,864 biji pelbagai gred.

“Hasil pemantauan yang dilakukan di seluruh Parlimen di WPKL mendapati pengurangan bekalan yang diterima melalui pembekal dan trend pembelian yang tinggi oleh pengguna.

“Pengguna disarankan untuk tidak membuat pembelian panik kerana hasil pemerhatian, didapati bekalan telur ayam yang diletakkan di rak-rak jualan cepat habis,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di ST Rosyam, Setiawangsa, di sini.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin ketika membuat pemantauan bekalan telur ayam di Pasar Raya St Rosyam Mart , Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

Ariffin menambah, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP WPKL sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pasar awam, pasar tani, pasar raya dan tidak ketinggalan kedai-kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan peniaga menjual barangan harga terkawal mengikut harga yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) termasuk aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan telur ayam.

Ujarnya, tindakan boleh diambil di bawah akta tersebut dan lesen pihak berkenaan juga boleh dibatalkan serta merta.

“Peruntukkan penalti bagi kesalahan bagi individu akan didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali dan perbadanan atau syarikat bakal didenda tidak melebihi RM2 juta.

“Mana-mana peniaga yang cuba untuk mengambil kesempatan menjual barang-barang harga terkawal melebihi harga yang telah ditetapkan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin bercakap pada sidang media selepas selesai membuat pemantauan bekalan telur ayam di Pasar Raya St Rosyam Mart , Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

Ariffin memberitahu, KPDNHEP WPKL menasihatkan semua peniaga agar bertimbang rasa dan menjual pada harga yang berpatutan.

“Sekiranya harga kos yang diperolehi menurun, peniaga amat digalakkan agar menjual pada harga yang lebih rendah daripada kebiasaan.

“KPDNHEP WPKL juga memohon kerjasama pihak pasar raya dan peniaga agar memberikan sokongan serta kerjasama pada pihak kementerian dalam isu bekalan dan harga telur ayam ini serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba
menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

Kadar harga jualan telur ayam yang ditetapkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Raya St Rosyam Mart , Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast