MELAKA – “Waktu nampak bucu belakang lori 25 tan semakin hampir dengan kereta, saya hanya mampu menjerit Allahuakhbar sebelum terdengar bunyi seperti tin kemek apabila bumbung kereta merempuh lori.
“Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, saya terselamat tanpa sebarang kecederaan dan berjalan keluar dari kereta walaupun keseluruhan kereta remuk.”
Itu pengalaman ngeri yang diceritakan seorang peniaga, Maizatul Mad Said, 49, yang terselamat selepas kereta Proton Wira dipandunya ‘lumat’ akibat merempuh sebuah lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Kandang di sini petang semalam.
Menceritakan semula kejadian, ibu kepada seorang anak itu berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke tempat berniaganya di Pantai Klebang selepas pulang dari menghantar anak tunggalnya ke Universiti Teknologi Mara Kampus Jasin.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya nampak lori berkenaan sedang membuat pusingan u dan sempat menekan brek namun sudah terlambat dan merempuh belakang lori berkenaan.
“Dalam keadaan cemas itu, saya hanya mampu menjerit ‘Allahuakbar’ sehinggalah apabila sedar, tangan saya masih berada di stereng tanpa sebarang kesan calar pada anggota badan.
“Saya kemudian membuka pintu kereta dan segera beredar dan waktu itulah baharu saya sedar, kereta sudah total lost sebelum orang ramai datang melihat kejadian itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut Maizatul, walaupun mengalami kerugian besar kerana keretanya yang musnah sepenuhnya selain barang jualan kek lapis Sarawak diusahakannya rosak, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang disifatkannya ajaib itu.
“Alhamdulillah, Allah masih melindungi saya walaupun ramai yang beranggapan saya tidak mungkin selamat dengan keadaan kereta yang hampir lumat itu.
“Bagi saya, ini berlaku dengan izin Allah walaupun saya sendiri terkejut melihat keadaan kereta sebegitu rupa malah pemeriksaan lanjut di Hospital Melaka juga doktor mengesahkan saya tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada pukul 5.30 petang melibatkan sebuah kereta dengan lori.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori bersaiz 25 tan yang datang dari arah Muar menghala ke bandar Melaka telah membuat pusingan u di kawasan yang dibenarkan.
“Pada masa sama, bahagian belakang lori dilanggar kereta jenis Proton Wira dipandu wanita terbabit yang ketika itu dalam perjalanan dari arah Jasin menuju ke Klebang untuk berniaga,” katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette