Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melancarkan 10 keutamaan Tawaran Harapan ‘Kita Boleh’ bersama barisan kepimpinan PH di Hotel Wyndham Acmar Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa segera melaksanakan janji-janji yang ditawarkan kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu.

Aktivis media sosial, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, gesaan itu perlu digerakkan segera memandangkan tawaran-tawaran yang dibuat sudah menyebabkan pengundi-pengundi terpesona.

“Tiada alasan untuk berselindung di sebalik kerajaan perpaduan yang mana Barisan Nasional, GPS, GRS dan lain-lain parti memberi sokongan dan kepercayaan kepada Anwar  untuk menjadi Perdana Menteri.

“Kerajaan hari ini adalah Kerajaan Pakatan Harapan yang merupakan blok terbesar, oleh yang demikian janji manifesto “Kita Boleh! Tawaran Harapan PRU15” perlulah dilaksanakan sebaik mungkin demi rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Mohamad Shafiq lagi, PH turut digesa agar tidak menjadikan manifesto seperti tisu tandas, hanya digunakan sewaktu tempoh berkempen dan kemudian dibuang begitu sahaja.

“Manifesto penting untuk rakyat menilai dan mengukur tahap prestasi parti politik dan pemimpin politik yang dipilih oleh mereka lima tahun sekali. Rakyat sudah muak dan mual dengan alasan demi alasan untuk mengelak daripada  melaksanakan janji kepada rakyat,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, Mohamad Shafiq berkata, PH perlu meyakinkan rakyat bahawa gabungan tersebut adalah blok terbesar dalam Kerajaan Perpaduan yang akan melaksanakan sepenuhnya semua manifesto yang telah dirancang.

“Parti gabungan lain haruslah menyokong dan mendukung hasrat ini kerana mereka telah memberikan keyakinan dan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan,” jelasnya lagi.

Pakatan Harapan (PH) pada kempen PRU15 lalu berjanji akan melaksanakan penurunan kadar tol lebuh raya, meneliti proses pelantikan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meneruskan amalan pengisytiharan harta untuk semua menteri, ahli parlimen, penjawat awam kanan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Selain itu, PH juga melantik timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak, menangani isu kos sara hidup; memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi perkasa peluang ekonomi belia dengan menerokai sektor manusiawi, menyelamatkan generasi tercicir dalam pendidikan dan membina ketahanan bencana serta memantapkan perlindungan. – MalaysiaGazette