Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Maiwp, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman (kanan) menyerahkan mock cek sumbangan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, Professor Dr Sabri Musa pada Program Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP bersama pelajar Universiti Malaya di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR –  Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Jihad Pendidikan bagi menyalurkan sumbangan zakat secara terus kepada golongan sasaran.

Jihad Pendidikan yang dilancar ini adalah satu inisiatif PPZ-MAIWP dalam mewujudkan kitaran zakat antara pembayar dan penerima zakat.

Melalui kaedah ini, zakat akan diberikan terus kepada MAIWP untuk disalurkan kepada asnaf yang layak termasuklah untuk bantuan pendidikan yang bakal  diterima oleh pelajar-pelajar asnaf.

Sempena pelancarannya, hasil kerjasama PPZ-MAIWP dengan Pusat Hubungan Alumni dan Kemajuan Institusi (CARIA) Universiti Malaya, sejumlah RM85,000 berjaya disalurkan bertujuan untuk memastikan keperluan pelajar asnaf dan B40 di UM mencukupi.

Abdul Aziz Abdul Rahman (tengah) menyerahkan serahan sumbangan kepada pelajar asnaf pada Program Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP bersama pelajar Universiti Malaya di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 NOVEMBER 2022.

Menurut Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, bantuan ini disalurkan bagi memastikan pelajar dapat menimba ilmu sebaik-baiknya, selain  meningkatkan kesedaran dalam menunaikan zakat dalam kalangan pendidik melalui potongan gaji.

“Ini julung-julung kali duit wakalah (skim pengembalian wang zakat) dibayar dari segi pendapatan dan juga perniagaan harta kita beri balik kepada orang yang membayar dan orang itu memberi kepada UM.

“Kalau bayar RM1 juta kita kena beri 50 peratus balik, pembayar akan diberikan peluang untuk mengagihkan wang zakat itu kepada senarai asnaf dan pelajar di sini.

Ini kerana universiti sudah bayar kepada kita dan pulang balik untuk diagihkan,” katanya kepada media selepas melancarkan Jihad Pendidikan di Universiti Malaya (UM), hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Prof. Dr. Sabri Musa.

Abdul Aziz Abdul Rahman ketika membuat lawatan ke ‘Food Bank’ selepas selesai Program Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP bersama pelajar Universiti Malaya di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 NOVEMBER 2022.

Menurut Abdul Aziz, dengan tagline ‘Sifar Kebuluran’,  program Jihad Pendidikan ini akan diperluaskan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Sabri turut menjelaskan pasca perubahan pembelajaran atas talian kepada fizikal meletakkan beban yang lebih berat kepada sesetengah pelajar universiti kerana berlakunya pertambahan tanggungan.

“Disebabkan itu, terdapat juga pelajar UM yang memerlukan sumber kewangan sokongan (daripada sumbangan zakat dan sebagainya) untuk meneruskan pengajian mereka di kampus dengan kos sara hidup kian meningkat.

“Kita juga menumpukan pelajar yang tinggal di luar kampus. Di UM ada kira-kira 40 peratus pelajar tinggal di luar kampus. Kita ada unit luar kampus yang menguruskan. Kita tidak mahu lagi mendengar pelajar tak dapat makan, kelaparan,” katanya.

Sabri berkata, setiap sesi kemasukan pelajar UM adalah kira-kira 18,000 dan sekitar 60 peratus pelajar di UM adalah datang daripada golongan B40.

Menurutnya, agihan program Jihad Pendidikan sebanyak RM85,000  yang diterima kali ini  merangkumi RM50,000 sumbangan kewangan kepada sejumlah 250 pelajar asnaf, RM14,000 pek makanan, RM20,000 kepada food bank UM dan RM1,000 kepada universiti. – MalaysiaGazette

Abdul Aziz Abdul Rahman menyerahkan bantuan makanan kepada pelajar semasa mengadakan lawatan ke ‘Food Bank’ pada Program Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP bersama pelajar Universiti Malaya di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 NOVEMBER 2022.