Mohamad Nizar Najib menandatangani watikah pelantikan Exco Kerajaan Negeri Pahang di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar, petang tadi. Foto Pahang Media

KUANTAN – Datuk Mohamad Nizar Najib, anak Datuk Seri Najib Razak antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Pahang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri hari ini.

Majlis angkat sumpah membabitkan lapan ADUN Barisan Nasional (BN) dan dua dari Pakatan Harapan (PH) itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar, Pekan pada jam 3 petang tadi.

Selain Nizar, tujuh ADUN BN yang mengangkat sumpah ialah Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak (Benta),Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau), Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar),Tuan Ir Razali Kassim (Muadzam Shah), Datuk Seri Johari Harun (Pelangai), Datuk Sabariah Saidan (Guai), dan Fadzli Mohamad Kamal (Dong).

Selain itu ADUN mewakili Pakatan Harapan (PH) pula Sim Chon Siang (Teruntum) Leong Yu Man (Triang).

Sebahagian Exco Pahang mengangkat sumpah di di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar, petang tadi. Foto Pahang Media

Pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada gabungan BN dan PH apabila tiada parti memenangi majoritiĀ  mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

PRU15 lalu menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi, Perikatan Nasional 17 danĀ  PH lapan.

Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 selepas diperkenankan oleh Pemangku Raja Pahang.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pahang mengangkat sumpah di Istana Abu Bakar Pekan merupakan menyandang kerusi DUN Jelai selama lima penggal dilantik sekali lagi menjadi Menteri Besar Pahang sejak 15 Mei 2018. -MalaysiaGazette