Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas bagi mengumumkan barisan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, anggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan perlu mengelakkan pembaziran serta fokus dalam melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat.

Beliau turut menggesa supaya anggota Kabinet mengutamakan tata kelola yang baik semasa melaksanakan tugas masing-masing.

“Saya tetapkan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan utamakan tata kelola dan tadbir urus yang baik dan isu yang harus diambil untuk ringkankan beban rakyat.

“Fokus utama tetap adalah pemacuan ekonomi. Kaedah baharu (akan) diperkenalkan, dengan maksud memusatkan usaha dalam menjalankan kerja dan elakkan segala kecurigaan tentang kemungkinan pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan merdia sama ada terdapat KPI (Indeks Prestasi Utama) tertentu diletakkan terhadap Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Dalam perkembagangan lain, Perdana Menteri memaklumkan senarai timbalan menteri akan diumumkan kemudian.

Anwar pada sidang medianya malam ini mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri serta 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.

Beliau melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan. – MalaysiaGazette