Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Maklumat sebenar zionis di Israel yang merupakan sebuah rejim aparteid dan sebuah negara pengganas perlu didedahkan di dalam media untuk tontonan dunia.

Langkah itu bagi membuka mata dan kesedaran serta kefahaman bahawa naratif Israel negara pengganas dan gerakan solidariti seluruh dunia terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurutnya, selama lebih tujuh dekad dunia diperlihatkan bagaimana Israel sebagai penjajah zalim terhadap Palestin dan pendedahan sebuah filem berjudul Farha yang memaparkan keganasan Israel pada 1948 ternyata mendapat reaksi masyarakat antarabangsa.

“Inilah yang paling digeruni oleh Israel. Israel kecut dengan kebenaran yang benar. Israel khuatir jika simpati dan mendokong Palestin semakin meluas di seluruh dunia.

“Israel amat takut jika masyarakat menekan pemerintah untuk mengambil tindakan menolak keabsahan Israel.

“Filem Farha adalah kisah benar yang mengungkap kebenaran. Perjuangan Palestin bertolak daripada kebenaran iaitu Palestin merupakan hak warga Palestin yang dirampas zionis Yahudi yang didukung kuasa besar Barat terutama Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, kutukan Israel terhadap Netflix yang telah mendapat hak tayang filem Farha mendedahkan hipokrasi Israel yang mahu menutup kepalsuan dan keganasan yang selama ini diselindungi dari kaca mata dunia.

“Padahal filem itu telah ditayang layar pada tahun 2021 di Festival Filem Toranto. Filem tersebut adalah sebuah filem daripada kisah benar yang berlaku ke atas sebuah keluarga Palestin yang diserang dan dibunuh askar Israel dengan sangat kejam. Ia merupakan kisah yang menunjukkan tindakan ganas askar Israel.

“Farha menjadi filem pembuka mata kepada mereka yang masih merasakan Israel ada hak wujud daripada penjajahannya ke atas bumi Palestin.,” tambahnya. – MalaysiaGazette