Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA – Pelan Strategik Lima Tahun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) bermula 2021 hingga 2025 mempunyai visi utama mewujudkan perdagangan dalam negeri yang progresif dan mampan.

Menterinya, Datuk Seri Salehuddin Ayub berkata, pelan itu dilaksanakan melalui penciptaan nilai dan pendigitalan serta mendayaupayakan pengguna dengan memperkasakan kominiti dan masyarakat.

Menurut beliau, di bawah pelan itu juga kementeriannya telah mengenal pasti lima teras strategik dengan 17 strategi serta 115 pelan tindakan dibangunkan bagi memastikan visi pelan itu dapat dicapai.

“Fokus kita ialah empat inisiatif utama dalam perancangan dan pelaksanaan setiap program atau aktiviti setiap tahun. Ia melibatkan rakyat, nilai pihak berkepentingan, kemudahan berniaga dan kecemerlangan organisasi.

“Kementerian ini telah merangka program utama untuk dilaksanakan dalam jangkamasa pendek, sederhana dan panjang dengan tumpuan diberikan kepada pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Serah Tugas dengan bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

Mengenai misi kementerian itu, Salahuddin berkata, pihaknya akan bergerak ke hadapan dalam cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara golongan peniaga dan pengguna.

Selain itu, katanya, usaha juga dilakukan untuk memastikan isu kos sara hidup rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Usaha inilah yang saya namakan sebagai mengharmonikan ekonomi melalui beberapa pendekatan.  Antaranya, menjaga kepentingan pengguna, yang mana mereka harus peka mengenai perubahan persekitaran yang mempengaruhi harga barangan di pasaran.

“Memperkenalkan inisiatif baharu yang bergerak ke arah keseimbangan antara sektor penawaran dan permintaan yang mampu menetapkan harga lebih stabil serta munasabah,” ujarnya. – MalaysiaGazette