Siti Bainun Ahd Razali

KUALA LUMPUR – Permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menggantung perbicaraan bela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down, Bella, 13, ditolak Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu dibuat selepas mendapati permohonan Siti Bainun, 30, adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Kesimpulannya saya dapati tiada keadaan khas atau istimewa dalam kes ini dan tindakan permohonan bagi penggantungan prosiding di mahkamah ini bagi kes ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Oleh demikian permohonan pemohon (Siti Bainun) dengan ini ditolak,” kata Hakim Izralizam.

Sebelum itu, dalam permohonan yang difailkan melalui peguam bela Siti Bainun, wanita tersebut memohon supaya perbicaraan bela diri itu digantung.

Antara alasannya ialah Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan pertuduhan-pertuduhan yang didakwa selain pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah cacat dan memprejudiskannya.

Sementara itu, keputusan berhubung permohonan pihak pembelaan bagi penangguhan bicara kerana Siti Bainun tidak hadir selepas dimasukkan ke hospital, akan diketahui petang ini.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun Ahd Razali diperintah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Keputusan Hakim Izralizam itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap dua pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Sebagai rekod, perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa sendiri iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain mereka, saksi pendakwaan termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima.

Siti Bainun berdepan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu dituduh dilakukan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette