MASIH ramai ahli akar umbi UMNO yang belum pulih daripada kejutan yang dialami selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap musuh ketat sejak sekian lama memang sesuatu yang di luar jangkaan.
Boleh dikatakan mereka memahami kewajaran di sebalik keputusan Barisan Nasional (BN) menyokong Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seperti yang dicanangkan oleh pemimpin-pemimpin kanan UMNO, tindakan itu diambil kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu gabungan-gabungan politik berunding untuk membentuk kerajaan setelah keputusan PRU-15 menyebabkan berlaku situasi Parlimen tergantung.
Ahli-ahli UMNO yang taat dan teguh mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu bersedia mengorbankan prinsip perjuangan mereka yang menolak kerjasama dengan PH agar titah Seri Paduka itu dapat dilaksanakan.
Maka, dapatlah pemimpin-pemimpin kanan UMNO termasuk presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan duduk semeja dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai pucuk pimpinan DAP seperti Anthony Loke dan Nga Kor Ming.
Rata-rata ahli akar umbi UMNO pada mulanya menyangka kerjasama antara BN dan PH hanya terhad kepada aspek pentadbiran kerajaan sahaja.
Lebih kepada usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis politik dan kesihatan yang berlaku selepas PRU-14.
Namun sangkaan mereka itu meleset sama sekali apabila kempen pilihan raya di kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman memperlihatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan PH beraksi di pentas yang sama.
Malah, ketika berkempen membantu calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak dalam program Ceramah Mega Ayuh Malaysia di Padang Serai malam tadi, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyifatkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 sebagai situasi ‘rezeki tidak pernah salah alamat’.
“Apabila rezeki tidak pernah salah alamat, maka Datuk Seri Anwar dalam pengamatan saya, bila mesyuarat pertama Kabinet tadi memperlihatkan kekaguman saya waktu dahulu jelas terpancar dari kepimpinan penerimaan rakyat keseluruhannya kepada beliau,” kata Timbalan Perdana Menteri itu seperti dipetik daripada rakaman video yang tular dalam media sosial.
Timbul pelbagai tafsiran dalam kalangan akar umbi UMNO berhubung kenyataan Ahmad Zahid tersebut terutamanya dari segi masa depan kerjasama antara parti itu dan PH.
Adakah kerjasama politik antara UMNO dan PH akan diteruskan pada pilihan raya akan datang terutamanya dalam pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan tahun depan?
Pucuk pimpinan UMNO perlu berterus terang dan telus tentang soal ini.
Dalam situasi UMNO yang agak genting selepas PRU-15, mereka tidak sepatutnya membuat keputusan dan tindakan secara ad-hoc tanpa mengambil kira sentimen dan sensitiviti akar umbi.
Ketetapan perlu dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang telah dijadualkan semula penganjurannya pada 11 hingga 14 Januari tahun depan dengan membenarkan perwakilan membahaskan soal hala tuju UMNO secara terbuka dan dari hati ke hati.
Mungkin situasi akan menjadi panas tetapi itu jauh lebih baik daripada senyap sahaja di dalam dewan walhal terbuku kemarahan dan kekecewaan yang tidak dapat diluahkan keluar dari hati masing-masing.
Andainya keadaan yang membingungkan ini dibiarkan sahaja, tidak mustahil ‘gunung berapi’ yang terpendam akan meletus pada pilihan raya akan datang sekali gus menyaksikan gelombang penolakan besar-besaran terhadap UMNO oleh akar umbinya sendiri. – MalaysiaGazette
INSHA ALLAH KERAJAAN GABUNGAN MUNAFIK2 DAN FITNAH2 AKAN TUMBANG SEGERA
Tak bingung lah..simple jaaa..UMNO kena pilih antara Anwar atau Muhyidin yg nak hancurkan UMNO…Muhyidin yg isytiharkan UMNO sbg musuh utama yg perlu dihapuskan..bukan DAP…orang bodoh jaa pilih Muhyidin…tp tak pe..kalau betul nak kerjasama ok jaa..dgn PAS kaa..dgn Bersatu kaa…tp bukan dgn Muhyidin…pilihan ditangan PN la