Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) diiringi Ketua Setiausaha (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib (dua kiri) memulakan tugasnya di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berazam menjadi seorang negarawan sebaik sahaja menerajui pentadbiran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu akui tidak mahu menjadi ahli politik yang hanya mengambil berat soal pilihan raya semata-mata.

“Seorang negarawan ambil berat tentang generasi akan datang, seorang ahli politik ambil berat tentang pilihan raya akan datang dan politikus pula hanya ambil berat tentang jawatan seterusnya.

“Saya dengan perasaan penuh tawaduk dan rendah diri, minta KSU, TKUS dan seluruh kakitangan keluarga KPKT bantulah saya jadi seorang negarawan, saya tak mahu jadi ahli politik mahu pun politikus.

“Bantulah saya jadi negarawan supaya kita dapat berkhidmat, berbakti dan berjasa. Inilah sebabnya saya datang ke kementerian yang sangat penting ini,” katanya pada sidang media di KPKT hari ini.

Terdahulu, Kor Ming memulakan tugas baharunya di KPKT selepas mengimbas kad perakam waktu kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.

Pada Sabtu lepas, Kor Ming antara 28 menteri yang hadir ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia setelah terpilih mengganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Istiadat Diraja itu dilakukan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – MalaysiaGazette