Gambar hiasan

OKU (Orang kelainan upaya) adalah individu yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat. Mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang yang sama untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan yang sewajarnya digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.

Walaupun berlainan keupayaan , mereka tidak seharusnya disisih. Golongan ini wajar dirai agar apa jua kebolehan istimewa yang dimiliki dapat dicanai dan diasah supaya dapat digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Aspek kesihatan mental OKU juga tidak harus dipandang enteng. Mereka merupakan antara golongan yang berisiko mendapat masalah kesihatan mental. Justeru, aspek kebajikan bagi golongan OKU harus diperkukuhkan agar OKU di Malaysia adalah individu yang stabil dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya.

Menyedari kepentingan golongan ini, 3 Disember telah dipilih sebagai tarikh Hari OKU Sedunia. Sambutan Hari OKU Sedunia pada tarikh 3 Disember adalah sebagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan masyarakat sebagai tanggungjawab bersama untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kemampuan dan sumbangan OKU. Sambutan Hari OKU Sedunia juga bertujuan bagi menggalakkan hak dan kesejahteraan orang kelainan upaya dalam segala aspek pembangunan dan sosial.

Pemerkasaan warga OKU di Malaysia dapat menjadi inspirasi kepada golongan bukan OKU dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh cabaran ini. Lihatlah pencapaian yang amat membanggakan yang telah diperolehi oleh warga OKU kita. Antaranya Sukur Ibrahim. Meskipun cacat anggota tangan dan kaki, Sukur tetap cekal mengejar impian. Kini, beliau telah mengusahakan perniagaan pemasangan karpet melalui syarikat miliknya, D Strike Solution sejak tahun 2010 dan telah memenangi Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan (Keusahawanan).

Selain itu, kecemerlangan Prof Dr Ismail Salleh juga wajar dicontohi. Beliau merupakan seorang yang cacat penglihatan sejak dilahirkan. Walaupun dilahirkan buta, beliau berjaya menjadi Senator Pakar Ekonomi OKU pertama di Malaysia dan juga merupakan seorang pensyarah di Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (IUCTT). Malah, nama Prof Dr Ismail Salleh ini telah tercatat di Guinness Book of Record sebagai orang cacat penglihatan yang pertama peroleh ijazah kedoktoran.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud " Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu (Riwayat Muslim). Agama Islam juga telah mengajar umatnya agar tidak memandang status individu hanya kepada aspek luarannya sahaja. Namun, melihat apa yang dilakukan oleh undividu tersebut.

Tema Hari OKU Kebangsaan bagi tahun 2022 adalah "Transformasi Ke arah Pembangunan Inklusif : Peranan Inovasi Dalam Memenuhi Aksesibiliti dan Kesaksamaan OKU" memperlihatkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf dan status hidup OKU. Diharapkan agar di era globalisasi yang mencabar ini, dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan, golongan OKU di Malaysia mampu berdaya saing dan
meningkatkan keupayaan mereka dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran. Golongan OKU harus lebih kompetitif agar mereka dapat 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan individu yang lain walaupun memiliki kelainan upaya.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia