KUALA LUMPUR – Pemuda MCA Selangor mahu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil serius aspek keselamatan di kemudahan Park N’ Ride susulan kejadian dua tayar sebuah kereta dicuri ketika diletakkan di stesen LRT Bukit Tinggi, Klang, baru-baru ini.
Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan terhadap tahap keselamatan kemudahan parkir yang digunakan ribuan pengguna pengangkutan awam setiap hari.
Menurut Jie Sen, mangsa dilaporkan membayar RM5 untuk meletakkan kenderaan di kemudahan Park N’ Ride milik Prasarana sebelum menaiki LRT ke tempat kerja.
Namun, katanya, apabila pulang, mangsa mendapati dua tayar keretanya telah dicuri selain kenderaan itu mengalami kerosakan dipercayai akibat cubaan mencuri.
“Situasi yang sepatutnya memberikan kemudahan dan rasa selamat kepada pengguna pengangkutan awam bertukar menjadi pengalaman yang menyedihkan dan menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan di kemudahan parkir berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jie Sen berkata, kejadian itu perlu diberi perhatian memandangkan kerajaan dan Kementerian Pengangkutan (MOT) sering menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan perjalanan harian.
Katanya, keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam bukan hanya bergantung kepada ketepatan masa perkhidmatan, gangguan operasi atau kekerapan tren, tetapi turut merangkumi aspek keselamatan kenderaan yang ditinggalkan di kemudahan parkir rasmi.
“Ribuan pengguna bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan awam setiap hari. Mereka meletakkan kenderaan di kemudahan yang disediakan, membayar caj parkir dan meneruskan perjalanan dengan tren.
“Jika pengguna dikenakan bayaran untuk menggunakan kemudahan ini, bukankah munasabah untuk mereka mengharapkan tahap keselamatan yang sewajarnya terhadap kenderaan mereka?” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana pihak luar boleh memasuki kawasan parkir berkenaan dan melakukan jenayah tersebut, selain sama ada sistem kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi serta dipantau dengan baik.
Beliau turut mempersoalkan kecukupan anggota keselamatan dan langkah pencegahan yang disediakan di kemudahan Park N’ Ride, terutama pada waktu pengguna meninggalkan kenderaan mereka untuk tempoh yang panjang.
Jie Sen berkata, Prasarana perlu menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu dan memperkemaskan sistem pengawasan serta kawalan keselamatan di semua kemudahan Park N’ Ride di bawah pengurusannya.
“Keselamatan pengguna dan harta benda mereka tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan. Prasarana perlu mengambil tindakan sewajarnya dan bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami mangsa sekiranya kejadian itu berada dalam bidang operasi dan pengurusannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau mahu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memastikan isu keselamatan kemudahan sokongan pengangkutan awam turut diberikan perhatian serius.
Katanya, usaha menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada pengangkutan awam perlu disertai jaminan bahawa keseluruhan pengalaman perjalanan termasuk ketika meninggalkan kenderaan di stesen adalah selamat, boleh dipercayai dan diuruskan secara profesional.
“Prasarana perlu tampil, mengambil tanggungjawab dan memulihkan semula keyakinan pengguna terhadap keselamatan kemudahan Park N’ Ride,” katanya. – MalaysiaGazette
















