Azman Nasrudin menang kerusi Parlimen Padang Serai.

KULIM – Perikatan Nasional (PN) melakarkan sejarah apabila berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai yang disandang Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang mendapat 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus menewaskan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Dua calon yang menarik diri, Datuk C. Sivaraj daripada Barisan Nasional dan calon Parti Warisan, Mohd Bakhri Hashim masing-masing mendapat 2,983 dan 149 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini, hari ini.

Turut hadir menyaksikan kemenangan calon PN itu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Muhamamad Sanusi dan Shahidan turut hadir di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech.

Kemenangan kerusi Padang Serai itu sekali gus menjadikan 14 kerusi Parlimen dikuasai PN di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon PH, M. Karupaiya dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 November lalu.

Pada PRU14, Karupaiya menang kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon Pas, Muhamad Sobri Osman dan calon BN, Datuk Dr. Leong Yong Kong. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Syabas PN, syabas pengundi2 P Serai, dgn kemenangan majoriti berganda. Tak lama lagi tumbanglah kerajaan minoriti DAP/PH tu. Jom semua sama2 istiqamah tegakkan kerajaan bersih.

Comments are closed.