Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis telah menahan dua suspek individu tempatan termasuk salah seorangnya bekas calon bebas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas kesalahan disyaki memiliki senjata api tanpa lesen.

Kedua-dua mereka termasuk seorang wanita telah diberkas bagi membantu siasatan selepas video penggunaan senjata api tanpa lesen membabitkan mereka tular dalam media sosial semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya petang semalam telah menerima satu laporan polis tentang penularan video berkenaan.

“Siasatan polis terhadap klip video tular itu mendapati suspek melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor.

“Manakala klip video itu telah dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial di dua platform media sosial miliknya iaitu Tik Tok dan Instagram.

“Susulan video tular dan laporan polis yang diterima, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah membuat tangkapan ke atas dua individu yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita pada pukul 10.20 malam di kawasan Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Tambah Ku Mashariman, kedua-dua suspek diberkas masing-masing berusia 41 tahun dan 28 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki dan wanita itu juga berjaya membawa kepada rampasan beberapa peralatan antaranya senjata api iaitu pistol yang dipercayai digunakan mereka dalam video tular itu.

“Antaranya yang dirampas dalam sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock dan 12 butir peluru hidup.

“Selain itu, pasukan polis turut merampas satu kad keahlian Persatuan Menembak Selangor dan sebuah telefon bimbit disyaki milik suspek bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Kedua-dua suspek kini telah ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(A), 8(B) dan Seksyen 41 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan. – MalaysiaGazette