Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi di Parlimen Padang Serai.

KULIM – Datuk Azman Nasrudin menyifatkan kemenangan beliau di kerusi Parlimen Padang Serai adalah mesej jelas bahawa rakyat menolak kerajaan dan Kabinet kleptokrasi di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, ia juga menunjukkan suara rakyat membantah pelantikan Datuk Seri Zahid Hamidi yang menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

“Ini juga satu isyarat yang jelas bahawa Perdana Menteri baharu kita perlu berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau.

“Selain itu, sepanjang sebulan kempen berlangsung, Pakatan Harapan (PH) memainkan sentimen saya ini pengkhianat serta calon katak,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini, hari ini.

Azman Nasrudin.

Menurut Azman, hari ini terbukti rakyat Padang Serai menolak Perdana Menteri yang melantik TPM daripada kalangan kluster mahkamah.

Mengulas lanjut Azman merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi Padang Serai yang memilihnya sebagai wakil rakyat untuk membawa suara mereka di peringkat Parlimen.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang memberikan kepercayaan terhadapnya untuk bertanding di kerusi tersebut meskipun ia menjadi kerusi tradisi PH sejak tiga penggal lalu.

“Kami (PN) akan jadi pembangkang yang berwibawa di Parlimen nanti selain memantau tindak tanduk kerajaan campuran PH dan Barisan Nasional,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

PN rampas kerusi PH di Padang Serai

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, PN melakar sejarah apabila berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai yang disandang Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang mendapat 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang selepas mendapat majoriti 16,260 sekali gus menewaskan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukan menolak PM yg lantik menteri kluster mahkamah, kurang tepat tu! Rakyat sebenarnya menolak kerajaan minoriti DAP/PH secara keseluruhannya, secara total! Apa2 pun tahniah kpd PN, barisan kepimpinan masa depan yg bersih, lipatgandakan usaha.

Comments are closed.