Mohd Zarif Hashim

ISKANDAR PUTERI – Perubahan tampuk pentadbiran kerajaan yang baharu tidak akan menjejaskan perjalanan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, ini berikutan projek yang mendapat kelulusan daripada Kabinet pada 2019 itu merupakan komitmen kerajaan yang perlu dilaksanakan.

“Insya Allah tidak, kerana kelulusan (projek) Kabinet yang pertama diberi pada 2019 dan ketika 2020 pun ada lagi perbincangan di Kabinet.

“Projek ini adalah komitmen daripada kerajaan, sebagai sebuah negara kita kena buat. Projek juga sudah separuh jalan dengan tanah semua sudah dibeli,” katanya kepada pemberita selepas Seminar RTS dan Impak Kepada Johor di Universiti of Reading Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perubahan tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan akan menjejaskan perjalanan projek tersebut

Ketika ditanya sama ada banjir kilat yang kerap berlaku di bandar raya ini akan melambatkan perjalanan projek tersebut, beliau berkata ia tidak mengganggu, kerana tapak projek berada di kawasan yang tinggi.

Mengenai perkembangan RTS, Mohd Zarif berkata, projek itu yang dijangka siap pada Dis 2026, setakat ini telah mencapai lebih 20 peratus dan berjalan mengikut jadual termasuk pembinaan depoh yang terletak di Wadi Hana, di sini.

“Sekarang sedang buat (depoh), termasuk piling (kerja cerucuk)  dan foundation (tapak). Daripada situ, kita akan naikkan bangunan,” katanya.

Beliau berkata projek tersebut yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memendekkan perjalanan kira-kira 15 minit dari Johor Bahru ke Singapura, dijangka dapat membawa limpahan ekonomi dan pelaburan kepada Johor.

“Apa yang paling penting sekali kita hendak galakkan pelaburan dari segi barangan dan perkhidmatan, sekali gus mengalakkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Johor.

“Ia juga akan tarik lebih kurang 1,500 peluang pekerjaan pembinaan, tetapi keseluruhan impak dari segi industri sokongan, hotel, logistik dan makanan, kita sasarkan lebih kurang 30,000 pekerjaan,” katanya.

Projek RTS dijangka siap sepenuhnya pada Dis 2026 dan akan mula beroperasi pada 1 Jan 2027. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast