KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk beraksi di final tertangguh lagi, selepas tewas dalam pertarungan separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, Thailand, hari ini.
Gandingan ranking kelapan dunia itu yang kecundang di peringkat sama edisi lepas, dikecewakan pasangan juara dunia tiga kali dan juara edisi 2019 dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-17, 13-21, 19-21, dalam permainan sengit selama 53 minit di Arena Nimibutr.
Di set pertama, Yew Sin-Ee Yi bermula garang dengan mendahului 12-5, namun mula melakukan kesilapan sehingga membenarkan gandingan keenam dunia itu bangkit, mengikat kedudukan 13-13 sebelum kembali menemui fokus dan rentak untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 21-17.
Pengalaman jelas menjadi faktor pemisah yang membawa kepada kemenangan pasangan Indonesia dengan jolokan The Daddies itu, selepas mereka bangkit mendominasi set kedua dan ketiga untuk menempah tempat ke final sekali gus memburu gelaran kedua.
Kemenangan itu turut melebarkan rekod pertemuan mereka yang kini berpihak Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 4-1, manakala kekalahan itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi terlepas peluang mencipta sejarah menjadi wakil Malaysia pertama mara ke final sejak edisi sulung pada 2018.
Bercakap kepada BWF selepas perlawanan, Yew Sin mengakui beliau dan Ee Yi gagal untuk meneruskan permainan baik mereka pada set perama ketika cuba untuk memastikan kemenangan masing-masing pada set kedua dan ketiga.
“Saya rasa pada set pertama, kami bermain dengan tenang dan kami tidak terikut permainan mereka kerana mereka suka kepada pukulan ‘drive’ yang kami cuba elakkan, dan kami berjaya lakukannya pada set pertama.
“Pada set kedua kami gopoh sedikit dan terikut permainan mereka, mereka mula bermain dan baik dan meninggalkan kami jauh. Secara keseluruhan untuk tahun ini tidak berapa baik untuk kami, sebelum beberapa bulan kebelakangan ini menjadi semakin baik, kami berharap tahun hadapan akan lebih baik lagi,” kata pemain berusia 27 tahun itu.
Sementara itu, Ee Yi berkata beliau akur untuk sekali lagi tewas di separuh akhir dengan menyifatkan pasangan lawan beraksi lebih baik terutama di depan jaring.
Yew Sin-Ee Yi mara ke separuh akhir selepas mengungguli saingan Kumpulan A dengan dua kemenangan masing-masing ke atas Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), serta tewas sekali di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun).
Dalam pada itu, menanti Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di final ialah gandingan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selepas menang 22-20, 11-21, 21-19 ke atas Fajar Alfian-Muhammad Rian pada satu lagi aksi separuh akhir. – BERNAMA