Najib Razak Hamid Sultan
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perjuangan Datuk Seri Najib Razak bagi membela nasib pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan rakyat yang susah terhenti setelah beliau dipenjarakan.

Pentadbir laman Facebook bekas perdana menteri itu berkata, permintaan terakhir Najib iaitu penstrukturan semula bayaran dividen KWSP serta kerajaan memberi lebih banyak peluang kepada KWSP untuk mengaut keuntungan melalui pelbagai cara yang dicadangkan beliau masih belum menjadi kenyataan.

Menurut beliau, hasrat Najib supaya pencarum yang kini mempunyai baki akaun yang rendah dapat dipulihkan simpanan mereka dalam tempoh masa yang terdekat.

“Ini adalah fakta dan apa yang telah berlaku namun ramai yang kini tidak puas hati dengan Najib mungkin telah terlupa,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib turut mengingatkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah tiga kali mencadangkan kepada kerajaan untuk membenarkan pencarum yang terkesan akibat krisis pandemik Covid-19 membuat pengeluaran dari akaun KWSP.

Beliau memberitahu, Najib kali pertama mencadangkan dan meminta kerajaan membenarkan pengeluaran dari akaun KWSP pada 17 Mac 2020 iaitu sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula.

Katanya, turut dicadangkan masa itu adalah moratorium pinjaman, diskaun bil elektrik sebab ramai rakyat terpaksa duduk di rumah serta bantuan kepada penghantar Grab agar lebih ramai bekerja untuk menghantar makanan kepada pelanggan ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Skim pengeluaran KWSP dari akaun 2 diluluskan dan diberi nama i-Lestari,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menambah, setelah ramai mengadu akaun 2 KWSP tidak cukup duit dan amat terdesak akibat PKP separuh masak yang berpanjangan, Najib pula meminta kerajaan membenarkan pengeluaran secara automatik tanpa syarat dari akaun 1.

Bagaimanapun, beliau berkata, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memberi kebenaran dan menyatakan ia amat sukar untuk dilaksanakan.

“Najib pula membalas bahawa sukar tidak bermakna mustahil dan gariskan langkah-langkah bagaimana ia dapat dilaksanakan.

“Namun kerajaan Muhyiddin masih menolak dan memaksa Najib untuk letakkan pengeluaran KWSP dari akaun 1 serta lanjutan moratorium pinjaman selama enam bulan sebagai dua syarat Barisan Nasional (BN) akan sokong Bajet 2021 dalam Parlimen.

“Bagaimanapun, Pas masa itu membidas Najib dan kata ia seperti syarat Puteri Gunung Ledang,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Najib dan BN tetap bertegas dengan syarat tersebut dan akhirnya kerajaan Muhyiddin terpaksa akur sebab mereka mahu BN menyokong Bajet 2021.

“Jika masa itu BN tak undi dan Bajet 2021 ditolak dalam dewan maka Muhyiddin akan tumbang sebagai Perdana Menteri. Pengeluaran yang dibenarkan pada permulaan 2021 ini diberi nama i-Citra,” katanya.

Beliau memberitahu, selepas itu, kerajaan Muhyiddin mengisytiharkan darurat dan meletakkan negara dalam PKP 2.0/ PKP 3.0/ PKP 3.0++.

Menurutnya, langkah itu amat menyukarkan rakyat yang tidak dibenarkan bekerja begitu lama sehingga ramai telah menghabiskan duit yang dikeluarkan dari KWSP melalui skim i-Lestari dan i-Citra.

“Sebab itu, Najib sekali lagi desak kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan pengeluaran kali terakhir dari akaun 1 dan akaun 2 KWSP.

“Najib kata masa yang paling tepat untuk membenarkannya adalah sebelum bulan Ramadan 2022 agar ramai akan cukup duit untuk balik kampung dan juga untuk persediaan meraikan hari raya setelah dua tahun dihalang,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, akhirnya Ismail Sabri bersetuju dan meluluskannya pada Mac lalu atas desakan berterusan Najib dan BN.

“Sebab itu, hari raya pada tahun 2022 adalah sangat meriah di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast